Thursday, November 25, 2010

CARA-CARA MEMULAKAN PERNIAGAAN

Modal 
Usahawan mesti mempunyai modal yang cukup untuk memulakan dan menjalankan perniagaan. 

Jumlah modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaan, lokasi perniagaan, dan jumlah kredit yang hendak diberikan kepada para pelanggan.
 
Modal boleh datang daripada simpanan sendiri atau pinjaman daripada sahabat handai atau sanak saudara ataupun dari bank. Bagi mendapatkan pinjaman bank, satu kertas kerja perlu disediakan untuk meyakinkan pihak bank tentang kemampuan membayar balik pinjaman. 

Lokasi (Tempat Perniagaan)
Usahawan mesti bijak memilih lokasi yang strategik atau sesuai bagi menjamin kejayaan perniagaan. Perniagaan harus diletakkan di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan. 

Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain. 

Minat, pengetahuan dan pengalaman 
Usahawan mesti mempunyai minat dalam perniagaan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan sekadar sementara waktu sahaja. Jika tidak, perniagaannya susah untuk dijalankan. 

Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang akan diceburinya. Contohnya, jika dia hendak membuka kedai pakaian, dia mesti tahu dari mana untuk mendapatkan stok pakaian itu. 

Usahawan juga harus memperoleh pengetahuan dan pengalaman mengenai selok-belok pengurusan, mengurus wang, stok, masa, melayan pelanggan, menyimpan rekod dan akaun- serta lain-lain lagi. 

Pengalaman boleh diperoleh dengan cara bekerja, sebagai pembantu dalam bidang perniagaan yang berkenaan. 

Pengetahuan boleh diperoleh dengan belajar di sekolah, maktab atau universiti, membaca buku-buku yang berkenaan, mengikut kursus perniagaan, bertanya, berbincang dan memerhati peniaga-peniaga lain menjalankan perniagaan mereka. 
  
Jenis dan saiz perniagaan 
Usahawan mesti menentukan jenis dan saiz perniagaan yang hendak dijalankan. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan kebolehan, pengetahuan dan pengalamannya. 

Saiz perniagaan hendaklah juga bersesuaian dengan modal yang ada, kebolehan, pengalaman dan pengetahuan untuk mengawal dan mengurus perniagaan itu. Saiz perniagaan yang kecil mudah dimulakan serta diurus. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan. 

Persaingan 
Usahawan juga mesti memikirkan tentang persaingan yang akan dihadapinya. Kajian perlu dibuat untuk mengenal pasti pesaing-pesaing, bilangannya, saiz perniagaan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan sambutan para pelanggan terhadap perniagaan mereka. 

Membuka perniagaan di tempat yang banyak mempunyai persaingan tentu tidak akan dapat menarik ramai pelanggan pada mulanya. Tetapi jika usahawan dapat memberi layanan yang lebih baik, pelbagai pilihan barang, harga yang berpatutan dan perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan banyak pelanggan akan tertarik untuk kekedainya. 

Bagaimanapun usahawan perlu mengadakan rancangan dan ikhtiar yang rapi dan bernas untuk mengatasi para pesaing. 
    
Undang-undang dan peraturan
Usahawan mesti mengetahui undang-undang, peraturan-peraturan serta akta-akta yang mengawal perjalanan perniagaan dalam negara kita agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, atau akta yang boleh menghalang perjalanan perniagaan. 

Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan, Majlis Bandaran atau Dewan Bandar Raya telah menetapkan jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan-kawasan tertentu serta jenis lesen yang diperlukan. Usahawan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. 

Di samping itu, semua perniagaan mesti didaftarkan dengan pihak-pihak tertentu kecuali penjaja bergerai yanng hanya perlu mendapatkan lesen menjaja daripada pihak berkuasa tempatan. 

Usahawan juga mesti mematuhi berbagi-bagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain. 

Sumber bekalan
Usahawan perlu mengetahui tempat-tempat di mana ia mendapat bekalan barang-barang dengan seberapa murah dan mudah. 

Usahawan harus tahu pembekal mana yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik. 
  
Memulakan Sendiri
Seseorang boleh memulakan perniagaan sendiri jika ia mempunyai keyakinan dan kebolehan tentu ia akan berjaya. Untuk memulakan perniagaan sendiri, ia hanya perlu memastikan kewujudan perkara-perkara berikut :- 

Pengalaman dan pengetahuan 
•    Minat yang berterusan 
•    Modal yang mencukupi 
•    Punca bekalannya 
•    Peraturan dan undang-undang tempatan
•    Jenis perniagaan yang ingin dijalankan 
•    Lokasi perniagaan 

Ramai pelanggan dan usahawan yang berjaya pada hari ini telah memulakan kegiatan perniagaan dengan sendiri. 

Ambil Alih 
Satu lagi cara untuk memulakan perniagaan ialah dengan mengambil alih atau bergabung. Ia bermaksud sebuah perniagaan yang sedang maju membeli atau bergabung dengan sebuah perniagaan yang lain dan mengambil alih pengurusannya. Di sini perkembangan perniagaan berlaku dengan cepat. 

Apabila seseorang peniaga mengambil alih atau bergabung dengan sesuatu perniagaan, ia seharusnya menggunakan pengalaman dan pengetahuannya untuk:- 
  • merundingkan harga yang terbaik 
  • mendapatkan syarat-syarat bergabung atau ambil alih yang baik dari penjual. 
 
 
Faktor-faktor yang dipertimbangkan apabila mengambil alih perniagaan :- 

Kewangan perniagaan 
Pada asasnya proses mengambil alih perniagaan lain perlulah mengambil kira langkah-langkah seperti membuat kajian awal untuk menilai kedudukan kewangan dan kadar keuntungan di samping meneliti dan memeriksa setiap butir kewangan yang disediakan oleh pemilik. Ia bertujuan memastikan kewangan perniagaan yang diambil adalah kukuh. Kajian juga termasuk mengkaji aset perniagaan yang ada seperti premis, lengkapan dan perabot agar mempunyai nilai semasa yang baik. Di samping itu, liabiliti perniagaan seperti pinjaman dan pemiutang juga perlu diketahui agar tidak menanggung beban hutang yang tinggi. 
Faedah yang dinikmati 
Kajian tentang kelebihan-kelebihan yang boleh didapati jika mengambil alih perniagaan tersebut juga perlu diambilkira, umpamanya dapat memiliki teknologi dan kepakaran yang ada. Begitu juga dengan aset seperti tanah dan bangunan yang boleh dimajukan untuk perkembangan masa hadapan. Bahagian pasaran yang telah dikuasai turut dinikmati dan pelanggan perniagaan dapat dikuasai. 
  
Masalah yang dihadapi 
Masalah-masalah yang dihadapi oleh perniagaan tersebut yang menyebabkan pemiliknya ingin menjualnya juga harus diambilkira untuk dikaji. Ini bertujuan supaya kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dan menjadikannya sebuah perniagaan yang menguntungkan. Contohnya, jika perniagaan tersebut menghadapi persaingan yang hebat, kenalpasti pesaing tersebut dan kaji kelemahan yang ada untuk mengatasi persaingan. 

Potensi berkembang
Masa hadapan perniagaan tersebut hendaklah dikaji samada ianya berpotensi untuk berkembang maju lagi. Kajian masa hadapan ini boleh dilakukan dengan melihat statistik-statistik serta keadaan pasaran semasa. Umpamanya, perkhidmatan bas mini di kawasan Shah Alam diadakan berdasarkan kepada banyaknya kawasan perumahan dan perindustrian yang telah didirikan di mana terdapatnya banyak permintaan untuk perkhidmatan tersebut. Beberapa tahun yang lepas ia tidak diadakan kerana perkembangan dan pembangunan kawasan tersebut masih dalam perancangan. 

Persaingan yang akan dihadapi 
Persaingan yang akan dihadapi juga diambil kira. Buat kajian dan kenalpasti pesaing yang wujud. Kaji kelemahan dan kekuatan pesaing tersebut supaya kita boleh mengatur rancangan atau strategi untuk mengatasinya. Contohnya, jika pesaing mempunyai kepakaran tertentu, cuba pelajari kepakaran tersebut atau dapatkan kepakaran orang lain sebagai rakan kongsi atau diambil sebagai rakan kongsi atau diambil bekerja. 

Minat dan kecenderungan yang ada 
Minat dan kecenderungan semula jadi perlu ada apabila ingin mengambil alih perniagaan. Tanpa minat dan kecenderungan ini, sudah tentu apa yang dilakukan nanti tidak sampai ketahap yang dikehendaki. Minat dan kecenderungan merupakan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan, oleh itu pastikan ianya wujud di hati kita. 

Warisan 
Ada juga perniagaan yang diwarisi daripada ibubapa, nenek moyangnya, atau warisan keluarga. Jenis perniagaan ini biasanya kukuh dan telah lama wujud dalam perniagaan. 

Diundang 
Diundang bermaksud perniagaan yang kekal dan sudah wujud mengundang seseorang @ sesebuah syarikat untuk menjadi rakan kongsi @ bergabung dengan syarikat induk. Individu @ syarikat ini diundang kerana potensi yang ada padanya dan prestasi individu tersebut @ syarikat tersebut amat baik. 

PENGURUSAN WANG



Saya bukanlah orang yang layak bercakap tentang pengurusan wang kerana saya tidak terlibat dalam bidang kewangan. Namun, saya tertarik membaca berita ini. Ikuti penjelasan Azizi Ali mengenai cara beliau menguruskan kewangan sehingga boleh bergelar jutawan.
Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama pembaca yang tidak suka membaca artikel panjang-panjang.

Pengurusan kewangan tidak diajar di sekolah [oleh itu, mereka banyak menghabiskan wang dengan sia-sia].

Azizi menggariskan lima langkah untuk menguruskan kewangan iaitu membayar diri sendiri, membuat tabung simpanan, membeli insuran mencukupi, menguruskan hutang dan membeli aset bernilai.

Tabung simpanan bukan bertujuan menjadikan kita kaya tetapi mencegah kita daripada miskin.

Insuran amat penting. pilih insuran yang bersesuaian dan insurankan apa yang penting. Ia bukan pelaburan tetapi lebih kepada perlindungan terutama ketika anda dilanda musibah.
Selain itu, saya ingin menambah dua perkara yang penting dalam merancang kewangan iaitu :
  • Mempelbagaikan simpanan - untuk memperuntukkan sebahagian wang dalam bentuk simpanan, perbelanjaan sebenar harus diambil kira agar tidak menimbulkan sebarang kesukaran dalam kehidupan seharian.
  • Penggunaan skim pinjaman secara bijak -beberapa perkara yang sering diambil kira semasa menggunakan skim pinjaman ialah kadar faedah yang ditawarkan serta tempoh dan cara pembayaran balik pinjaman tersebut.
  jadi , kita patut menabung dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang melibatkan kewangan supaya tidak sesal dihari mendatang.

Wednesday, November 24, 2010

SALAM UKHWAH


Salam kepada semua, blog ini bakal memaparkan hal-hal berkaitan pengurusan wang dan pendapat dalam mencari pendapatan samaada dari penulis sendiri mahupun pendapat dari mereka-mereka yang sudah berjaya

Entri akan dicatat sekerap yang boleh bagi memastikan input yang berguna boleh dikongsi bersama demi kesenangan bersama.


Dan ini adalah permulaannya...